Peranan Guru

1.0 Pengenalan

Keguruan merupakan satu profesion yang memberi impak yang besar kepada halatuju sesebuah komuniti dan negara. Melalui profesion inilah terjananya modal-modal insan yang akan mencorakan pembangunan negara akan datang. Justeru itu, dalam konteks ini peranan guru sangat bepengaruh dan kompleks merangkumi aspek intelektual, spiritual dan juga afektif.  Profesion ini dianggap sabagai wahana bagi menghubungkan pendidikan dengan manusia.

Guru boleh juga dianggap sebagai agen sosial bagi membentuk keperibadian manusia. Prestasi, imej dan kualiti perkhidmatan guru yang cemerlang akan melahirkan pelajar yang cemerlang dan seterusnya akan membentuk sebuah masyarakat yang maju dan progresif. Golongan pendidik adalah seumpama lilin, membakarkan diri demi menerangi orang lain. Oleh sebab itu, profesion guru disanjung tinggi oleh masyarakat.

Profesion ini juga sangat penting bagi melahirkan generasi yang dari aspek pengisian dan kemahiran tanpa mengabai nilai-nilai moral yang terdapat pada diri masing-masing. Hakikat yang sebenarnya ialah nilai-nilai moral ini yang menentukan kejayaan diri dan juga masyarakat bagi menguruskan kemajuan dan pembangunan. Kehebatan dan kejayaan individu tanpa berbekalkan nilai-nilai moral yang tinggi akan menyebabkan kecelaruan dalam mencorak personaliti individu.

Peranan guru sangat luas konteksnya jika dibicarakan dalam skop keagamaan dan masyarakat. Sekirannya matlamat untuk menjadikan sesuatu individu itu sebagai insan kamil ia boleh merangkumi prinsip-prinsip seperti mu’allim, murabbi, mudarris, mu’addib dan juga mursyid. Bidang-bidang ini mampu memperkasakan manusia menjadi manusia yang mampu mengadaptasikan kehidupan bermasyarakat dan bertamadun. Guru adalah merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberkesanan para guru adalah bersandarkan tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi.

2.0 Mu’allim

Mu’ allim berdasarkan konsep keagamaan dalam islam melambangkan pengisian dan penyampaian ilmu bersandarkan perkara-perkara yang benar dan dapat membezakan kekhilafan manusia bersandarkan ilmu yang dimiliki oleh si penyampai. Di sinilah dapat dinilai kemampuan individu itu mentransformasikan ilmu secara efisien agar pelajar-pelajar dapat mengaplikasikan nilai-nilai moral dalam masyarkat dan negara. Tanggungjawab guru sangat besar dan perlu adil untuk disampaikan kepada pelajar-pelajarnya.

Dalam konteks ini, kemahiran guru sangat  penting dalam menyampaikan dan memupuk nilai-nilai moral dan perkaitannya dengan keluarga dan masyarakat. Guru harus bijak mendepani permasalahan dan menjelaskan penyelesaiannya agar ia dapat diamalkan oleh pelajar seterusnya dapat mentranformasikan pelajar menjadi insan yang lengkap dengan nilai-nilai moral yang tinggi. Contohnya, perbuatan merokok itu makruh dan boleh membahayakan kesihatan. Sebagai seorang pendidik, guru harus menunjukan contoh yang baik dengan tidak merokok. Selanjutnya guru harus menekankan dengan penuh berhikmah bahwa merokok itu boleh membawa keburukan kepada kesihatan dan kehidupan. Nilai-nilai ini yang harus dipegang oleh pelajar-pelajar untuk menjadi manusia yang berjaya dalam keluarga dan juga masyarakat. Ini kerana dengan wujud gejala merokok ini, ia secara tidak langsung  memberi kesan terhadap perkembangan aspek rohani, jasmani, emosi dan juga intelektual pelajar.

Dalam institusi kekeluargaan pula, sebagai mu’allim, guru perlu menerangkan kepada pelajar perlu mengamalkan nilai-nilai moral di rumah agar menjadi contoh yang baik kepada keluarga. Hakikat yang perlu diakui ialah setiap pendidikan bermula di rumah. Ini kerana hampir dua pertiga daripada masa pelajar dihabiskan di rumah bersama keluarga. Segala amalan di rumah ini akan dibawa keluar dimanifestasikan dalam pergaulan dengan persekitaran. Tugas guru adalah memantau dan menjustifikasikan tindakan pelajar dan seterusnya menjelaskan tindakan-tindakan yang wajar dan membimbing mereka melakukan tindakan tepat.

Komuniti atau masyarakat merupakan tanggungjawab setiap entiti yang wujud di dalamnya. Perlu juga diingat, sejarah menunjukkan bahawa guru merupakan pengaruh yang cukup kuat dalam memacu harapan masyarakat. Oleh itu sebagai mu’ allim, guru memainkan peranan yang cukup besar membentuk ideologi nilai-nilai yang tepat kepada pelajar dalam memasyarakatkannya. Dengan pemahaman yang jitu terhadap nilai-nilai moral yang tinggi dapat membentuk peranan pelajar yang konsisten tanpa anasir-anasir gejala sosial yang boleh meruntuhkan masyarakat. Situasi begini yang menjadi pegangan pemimpin-pemimpin yang yakin masyarakat yang berorentasikan nilai pasti akan mencapai segala kemajuan termasuk material dan spiritual. Contohnya mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang popular dengan slogannya “Masyarakat Madani” yang dianggap menunjangi kejayaan masyarakat islam di Madinah satu ketika dahulu. Begitu juga dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sering mewar-warkan “ Masyarakat Hadhari”.

Persekitaran adalah penting dalam mewujudkan keseimbangan kehidupan dalam komuniti tertentu. Sebagai mu’allim, guru harus peka dengan semua situasi dan seterusnya menyampai maklumat yang berkesan kepada pelajar-pelajar. Perlu diingat, setiap manusia perlu bijak menangani persekitaran kerana ia dapat dimanafaat untuk tujan kemajuan negara. Justeru itu guru harus menanamkan nilai-nilai yang bertunjangkan perhargaan terhadap alam sekitar. Ini perlu bagi kesinambungan hidup pada generasi akan datang. Sekiranya tidak, akan berlaku akan berlaku kealpaan dan ketidakprihatinan dalam tindakan. Contoh yang jelas adalah seperti dalam ‘Lampiran 1’ yang memuatkan berita tentang sikap manusia yang tidak prihatin dengan alam sekitar. Sikap mengambil mudah dalam menagani permasalahan dengan membakar jerami boleh membahayakan  masyarakat sekeliling. Inilah disebabkan kurangnya nilai-nilai moral dalam pengisian golongan terbabit. Sebagai mu’allim, pendidik harus menjelaskan perkara begini adalah salah dan menunjukkan alternatif lain yang boleh dilakukan tanpa menjejaskan keharmonian persekitaran.

Dalam mata pelajaran Pendidikan Moral, guru boleh menerapkan nilai-nilai murni seperti peka terhadap isu alam sekitar menggunakan kaedah lakonan. Contoh pelaksanaan kaedah lakonan adalah seperti berikut:

TAHUN:                                            4 Bestari

MASA:                                              60 Minit

BIDANG PEMBELAJARAN:        4.    Nilai berkaitan dengan Diri dan Alam Sekitar.

NILAI:                                                          4.3  Peka terhadap Isu Alam Sekitar

KANDUNGAN AKADEMIK:       Prihatin terhadap masalah alam sekitar

-          Pencemaran akibat tindakan manusia

TAJUK:                                             Alam Milik Bersama

PENGETAHUAN SEDIAADA:     Murid pernah mendengar dan membaca maklumat

Tentang pencemaran melalui media massa

HASIL PEMBELAJARAN:            Murid dapat:

  1. menyenaraikan kesan pencemaran terhadap

hidupan.

  1. prihatin terhadap isu pencemaran.
  2. tidak terlibat dalam kegiatan yang boleh mencemar dan memusnahkan alam sekitar.

PENDEKATAN:                              Pembelajaran aktif, TOC, Kecerdasan pelbagai

TEKNIK:                                           Lakonan, perbincangan kumpulan.

Di samping itu terdapat juga tanggungjawab diri terhadap negara tercinta. Peranan guru di sini ialah memastikan sikap patriotisme yang wujud pada pelajar-pelajar ini sentiasa kekal. Dalam menyampaikan perkara yang haq atau kebenaran, guru seharusnya jujur dan berpegang kepada realiti sambil mamastikan jatidiri pelajar terus meningkat. Guru seharusnya menjadikan pelajar berbangga menjadi seorang warganegara yang berdaulat. Dengan ciri-ciri ini seterusnya pelajar akan menyumbangkan segala kemahiran, kepakaran dan kesetiaan yang sejajarnya kepada negara tercinta. Dengan mengambil contoh negara kita, Malaysia, guru perlu amanah dalam menyampaikan maklumat berkaitan isu-isu sensitif seperti ‘kontrak sosial’ dan sebagainya. Dalam menangani isu politik misalnya, guru perlu jujur dan realistik. Jangan sampai ia menjadi sesuatu provokasi dan pengadil dalam situasi.

3.0 Murabbi

Murabbi pula merujuk kepada kemampuan guru berperanan sebagai agen perubahan di mana ia boleh merubah sesuatu paradigma atau perbuatan dari yang tidak baik kepada baik. Konsep ini dianggap pentarbiahan dalam islam. Dalam pengisian pula, peranan guru ialah membantu mendidik pelajar mencapai satu kemahiran atau nilai amalan yang baik. Merujuk kepada al-Quran, Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Mujaadalah, ayat 11 yang bermaksud :

‘Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu

dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah

Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan’.

Melalui ayat di atas, diperjelaskan tentang martabat dan kedudukan tinggi dan mulia para guru atau pendidik. Pendidikan adalah aset penting yang menghala tuju pembangunan negara serta aset yang bernilai dalam pembinaan minda manusia serta alat untuk mewujudkan jati diri atau keperibadian yang unggul.

Konsep murabbi juga melibatkan satu bentuk tanggungjawab bagi pendidik untuk memberi panduan, pedoman dan tauladan kepada pelajarnya. Tanggungjawab ini merupakan satu penyelesaian yang perlu dipikul dengan ikhlas dan yakin ia akan memberi impak berantai kepada pelajar hingga melangkaui pembentukan masyarakat dan negara. Kerana itu seorang pendidik yang mendukung tinggi konsep murabbi ini rela menjadikan tempat menjalankan tugas itu bagaikan syurga baginya.

Banyak alternatif yang boleh diambil apabila pendidik ingin mevariasikan peranannya mengikut konsep murabbi ini. Bagi membentuk individu yang lengkap dengan nilai-nilai moral yang tinggi, pendidik harus membentuk sasaran dan tanggungjawab yang cuba dilakukan seterusnya menyematkan keikhlasan setulus hati dalam menjalankannya. Contohnya, apabila ingin mendidik juvana yang melakukan kesalahan buli, pendidik harus menetap matlamat yang ingin dicapai daripada pesalah tersebut. Pendidik perlu melihat ruang dan peluang sebelum memilih strategi dan kaedah yang bersesuaian untuk tujuan penyelesaiannya. Seterusnya pendidik harus menjadikan segala perjalanan ke arah itu sebagai satu tanggungjawab dan jihad yang besar. Komitmen beginilah yang akan mewujudkan keikhlasan yang nyata dan melahirkan keputusan yang positif. Tanpa komitmen yang tinggi, masalah buli dan samseng ini akan berleluasa. ‘Lampiran 2’ memaparkan betapa masalah begini sangat serius kadangkala melibatkan kematian. Tindakan yang keras sebenarnya tidak menjamin penyelesaian kepada masalah tersebut. Pengisian kerohanian disamping sekatan terhadap akses televisyen, internet dan wayang gambar yang menjadi pengaruh gejala begini seharusnya diperhebatkan.

Peranan sebagai murabbi adalah sangat penting dalan pemupukan nilai-nilai murni dalam institusi kekeluargaan. Dalam konteks ini pendidik boleh sama-sama berkongsi idea dan teknik yang digunakan dalam proses pentarbiahan terhadap individu terbabit. Perubahan sikap dan nilai individu dapat mempengaruhi individu lain yang berada di sekitarnya. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan berlakunya pendidikan secara tidak formal iaitu melalui pemerhatian. Konsep ini boleh dikatakan sebagai “role model” . Contohnya jika sebelum ini anak-anak dalam keluarga itu bebas dan suka keluar malam. Apabila hadir seorang individu yang mementingkan nilai-nilai seperti bertanggungjawab dan menghargai masa, ini sedikit sebanyak akan mengubah persepsi ahli keluarga yang lain tentang nilai yang perlu dicontohi. Oleh itu jelas dilihat bahawa pendidikan begini boleh mengubah seseorang kepada norma-norma yang lebih baik.

Dari aspek masyarakat pula, pendidikan melalui konsep murabbi ini mampu melahirkan insan-insan menjadi lebih bermoral. Penerapan kaedah yang bersesuaian sangat perlu supaya setiap individu dapat mengadaptasi persekitaran dengan lebih mudah. Nilai-nilai yang baik ini harus ditonjolkan apabila individu berhubung dengan persekitaran. Ini temasuk dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan bergaul mesra komuniti dalam masyarakat terbabit. Aktiviti gotong-royong misalnya, boleh dijadikan medium bagi pendidik memanafat pertarbiahan mendidik masyarakat dengan nilai-nilai murni. Begitu juga dengan mendidik masyarakat dalam membantu masyarakat. Contohnya dalam ‘Lampiran 3’, masyarakat wajar memperlihatkan keprihatinan terhadap sesama manusia. Inilah antara nilai-nilai yang dituntut kepada pendidik untuk disampaikan kepada semua lapisan masyarakat.

Hubungan dengan entiti-entiti persekitaran juga sangat penting disulam dengan teknik pendidikan. Konsep murabbi memerlukan golongan pendidik mendidik masyarakat agar dapat memanafaat persekitaran dengan lebih teratur dan beradap. Contoh sekiranya kita inginkan kebersihan yang berkekalan tanpa dilanda wabak penyakit, pendidik harus bijak memainkan peranan agar setiap lapisan masyarakat dapat membuang sampah dengan cara yang betul dan di tempat yang betul. Dengan cara begini masyarakat akan sentiasa prihatin dan menjaga kebersihan.

4.0 Mudarris

Mudarris lebih menjurus kepada memperkembangkan kemahiran diri dalam menanamkan nilai-nilai moral yang tinggi. Peranan begini sangat penting buat golongan pendidik kerana melalui konsep ini pendidik dapat memperkembangkan pelbagai kemahiran sama ada dalaman atau luaran dalam melahirkan individu berketrampilan, berilmu dan intelektual. Selain daripada pengisian, kemahiran adalah amat penting dalam menjana modal insan yang cemerlang. Ianya tidak hanya semata-mata kemahiran manipulatif sahaja malahan melibatkan kemahiran berinteraksi dan juga kemahiran mengurus dengan baik. Konsep mudarris mendidik manusia menjadi amat bertangggungjawab dan beretika dengan tugas. Ini adalah nilai-nilai integriti yang perlu ada pada individu yang ingin memainkan peranan sebagai pendidik. Di samping itu, ia juga mendidik individu agar dapat menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan bersandarkan kepada kemahiran penampilan diri yang dimilikinya. Seorang pendidik yang cemerlang tidak akan cepat menyalahkan keadaan dan tempat sebelum ia menyalahkan dirinya terlebih dahulu, dan di samping itu pula berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri ke tahap yang

paling tinggi.

Ilmu dan kemahiran itu sangat penting bagi pendidik untuk menterjemahkannya kepada pelajar. Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mengangkat darjat orang yang beriman dan berilmu dalam kalangan kita semua. Oleh yang demikian, profesion perguruan adalah merupakan satu profesion yang tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t. Ini telah ditegaskan oleh Allah s.w.t. di dalam firman-Nya dalam surah az-Zumar, ayat 9 yang bermaksud:

‘Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna’.

Dalam menerapkan konsep ini terhadap individu, pendidik perlu menggunakan sepenuhnya aspek kemahiran yang dimiliki untuk menunjukan pengaruh nilai-nilai moral yang tinggi. Pelajar perlu dididik dengan mengaplikasikan kemahiran tanpa meninggalkan unsur-unsur nilai moral. Contohnya kemahiran menjalankan perniagaan, pendidik bertanggungjawab membantu pelajar menginterprestasi situasi tanpa terdorong berlakunya nilai-nilai yang tidak baik seperti penipuan, pemalsuan dan sebagainya.

Dalam intitusi kekeluargaan pula, peranan mudarris ialah meliputi tanggungjawab memberi input dan kemahiran yang selaras dengan nilai-nilai moral yang tinggi. Perkara ini harus diterangkan dengan jelas kerana individu yang dididik juga memainkan peranan secara tidak langsung dalam memartabatkan intitusi keluarga. Individu dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan jika mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam institusi keluarga. Ia akan menyebabkan perubahan nilai yang berlaku dalam keluarga. Contohnya, sekiranya individu itu mendapatkan kemahiran memasak, ia boleh dipraktikan di rumah bersama keluarga. Penerapan nilai yang harus ada adalah seperti menepati waktu, tidak membazir dan rajin. Dengan nilai yang baik ini selanjutnya ia akan mempengaruhi isi rumah bergerak ke arah itu. Ini prinsip mudarris yang sebenarnya. konflik akan berlaku sekiranya tiada kemahiran berserta penekanan nilai. Contohnya apabila ketua keluarga malas untuk berkerja  maka ia akan memberi kesan kepada seluruh ahli keluarga tersebut. Keluarga akan porak peranda dan lebih terdedah kepada gejala-gejala sosial seperti mencuri dan sebagainya.

Begitu juga dalam masyarakat, peranan pendidik sebagai mudarris ini harus berterusan dan tepat. Dalam kategori ini, banyak perkara yang boleh dilakukan bagi mengaplikasikan dan menerapkan nilai-nilai dalam komuniti. Sekiranya konsep ini tidak dilaksanakan ia akan memberi kesan yang besar terhadap perkembangan nilai-nilai moral dan keseimbangan sosio-ekonomi. Kemahiran untuk hidup sangat penting untuk memastikan kesinambungan hidup dan saling kebergantungan antara komuniti. Begitu juga dengan nilai-nilai moral, ia sangat penting bagi mewujudkan interaksi sosial yang berkhemah dan bertamadun. Melalui prinsip mudarris, perkara-perkara begini dapat dipermudahkan. Contohnya golongan pendidik boleh menerapkan perkara-perkara begini dalan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri-kendara dan juga gotong-royong. Dengan cara begini setiap entiti dalam komuniti itu menyedari peranan dan kepentingan masing-masing. Ini mewujudkan rasa tanggungjawab dan bersatu-padu. Sekirannya tidak wujud perasaan sedemikian, maka akan lahirlah gejala sosial seperti mencuri dalam kawasan kejiranan yang sama, memfitnah, merosakkan harta orang lain dan sebagainya. ‘Lampiran 4’ menunjukkan satu keratan akhbar berkaitan berita penipuan. Inilah gejalanya apabila kita mempunyai kemahiran yang hebat tetapi tidak digunakan pada landasan yang benar. Oleh itu mudarris, pendidik harus menerapkan nilai-nilai dan pengajaran yang berguna kepada pelajar-pelajar.

Keharmonian negara bergantung kepada apa yang dicapai oleh rakyatnya. Situasi seperti yang dinyatakan dalam perenggan di atas jelas menunjukan ia akan memberi kesan yang besar terhadap negara jika gejala sosial tersebut menular ke kawasan lain. Justeru itu peranan pendidik sebagai mudarris harus bijak mengembangkan penyelesaiannya kepada seluruh pelajar yang bakal mewarisi negara ini. Bidang pendidikan sentiasa berkembang dan mengalami perubahan mengikut tuntutan zaman, perkembangan pesat percantuman pelbagai teknologi maklumat dan komunikasi seperti internet serta mendepani arus globalisasi, dunia telah membawa banyak cabaran kepada kita. Kita tidak dapat menyangkal betapa cepatnya ICT merubah dunia pembelajaran, umpamanya muncul pembelajaran melalui ‘online’. Para guru pada hari ini perlu bersikap produktif, proaktif dan responsif terhadap perkembangan kecanggihan teknologi yang telah banyak mengajar anak bangsa kita supaya menjadi satu bangsa yang maju. Ilmu dan kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi yang dikuasai guru dapat digunakan sebagai pemangkin ke arah menghasilkan pendidikan yang cemerlang dan berkualiti. Sebagai pemangkin, guru perlu menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi bukan hanya untuk menyampaikan ilmu di dunia semata-mata, tetapi juga untuk meraih kepentingan ilmu akhirat kerana pendidikan berkualiti hanya akan dapat dicapai melalui keseimbangan dalam kedua-dua ilmu tersebut. Penguasaan ilmu yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi, insya-Allah akan dapat melahirkan generasi yang berilmu, bertakwa, berkualiti, mampu bersaing dan bersesuaian dengan kehendak pasaran dunia pada alaf baru ini.

Mengikut konsep mudarris, guru harus menyampaikan kemahiran dan pengetahuan nilai yang berkesan kepada pelajar. Oleh itu apabila ia dihubungkan dengan persekitaran, pelajar haruslah bijak menangani persekitaran dengan berbekalkan kemahiran yang diperolehi. Contoh dalam pembuangan sampah, individu bukan sahaja membuang sampah untuk menjaga kebersihan malahan ia perlu dibekalkan dengan pengetahuan dan teknik pelupusan yang betul atau pun teknik kitar semula. Dengan cara ini, nilai menghargai alam sekitar dapat diterapkan.

5.0 Mu’addib

Pendidikan konsep mu’addib ini menjurus kepada peranan pendidik yang menjurus kepada aspek afektif iaitu berkaitan adap, budi pekerti dan nilai-nilai murni. Tidak hairan jika falsafah pendidikan negara juga menekankan aspek kerana ia merupakan sebahagian dari perkembangan individu yang melengkapkan personalitinya. Malahan sarjana-sarjana barat juga hebat menjalankan kajian yang berkaitan ‘Kecerdasan Emosi’ yang mana sangat menyentuh aspek ini. Kepentingan peranan pendidik sebagai mu’addib ini sangat penting dalam pembentukan jatidiri setiap individu. Pembangunan material tanpa disulami pembangunan akhlak akan menyebabkan negara bertamadun hancur. Sejarah membuktikan kehancuran kerajaan Rom yang hebat itu adalah disebabkan masalah moraliti di kalangan pemimpinnya.

Sebagai mu’addib, pendidik bukan sahaja menyampaikan pengisian tentang nilai-nilai murni ini malahan mereka mestilah mengamalkan nilai-nilai tersebut dan menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar. Tauladan yang baik merupakan satu didikan yang paling efisien berbanding dengan menyampaikan ilmu tanpa mengamalkan sepenuhnya. Konsep begini boleh dibawa dalam pendidikan pelajar-pelajar di sekolah. Pelajar-pelajar lebih terangsang dan terdorong serta yakin dengan pendidik berbanding ibubapanya. Oleh itu setiap penyampaian pendidik lebih cepat terkesan berbanding ibubapa di rumah. Justeru sewajarnya pendidik-pendidik mengeksploitasi sepenuhnya kelebihan ini untuk mencapai matlamatnya.

Terlalu banyak gejala-gejala sosial yang berlaku apabila kurangnya penekanan pendidikan dalam konteks mu’addib ini. Contohnya, dewasa ini sering kedengaran bahawa murid tidak menghormati guru, murid memukul guru, murid membakar kereta guru dan bermacam lagi kes yang tidak terfikir oleh kita akan berlaku. Malahan murid memukul murid hingga berlaku kehilangan nyawa juga sudah berlaku di negara kita. Sehubungan dengan itu golongan pendidik harus bijak memainkan peranan agar segala permasalahan ini dapat ditangani. Antara program-program yang berkesan ialah program mentor menti dan pembimbing rakan sebaya. Ini akan meningkatkan keyakinan pelajar untuk bergaul berlandaskan lunas-lunas nilai yang ditetapkan.

Bagi institusi keluarga pula, perlu ada kesedaran daripada ibubapa untuk membantu memikul sama beban pendidik ini. Hampir dua pertiga masa pelajar di rumah sepatutnya dimanafaatkan dengan pengisian yang lebih bermoral. Ibubapa seharusnya memberi kepercayaan penuh kepada pendidik-pendidik untuk membentuk anak mereka. Peranan sebagai mu’addib membantu kita membentuk keharmonian rumah tangga. Kebanyakan kanak-kanak akan teruja dan terpengaruh dengan mereka yang lebih dewasa. Selanjutnya ia akan meniru segala perbuatan idolanya itu. Justeru itu menjadi satu yang positif apabila kita dapat menerapkan nilai-nilai yang terpuji terhadap pelajar-pelajar agar dapat dikembangkan kepada ahli keluarga yang lain.

Apabila berinteraksi dengan entiti-entiti persekitaran sama ada benda hidup atau bukan hidup, peranan sebagai  mu’addib ini memaksa guru untuk menyemaikan rasa kecintaan terhadap sesuatu yang positif seperti kejayaan, kebersihan, keberanian dan sebagainya. Contohnya ialah apabila pelajar-pelajar ke sekolah, kecintaan terhadap sekolah menyebabkan mereka menghargai sekolah dengan cara membersihkan kawasan sekolah, berjuang bersungguh-sungguh mewakili sekolah dalam pertandingan bolasepak dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti yang boleh mendekatkan lagi diri pelajar dengan sekolah.

Begitu juga untuk negara, menyemai pelajar menggunakan pendekatan ini membantu meningkatkan semangat patriotik dan kecintaan mereka terhadap negara Malaysia. Dalam situasi begini, antara aktiviti yang wajar dilakukan ialah bergotong-royong dan menyemaikan sikap tolong menolong tanpa mengira bangsa dan agama.

6.0 Mursyid

Kemuncak peranan seorang pendidik ialah apabila ia dapat melahirkan seorang pemimpin yang boleh mempengaruhi dan mewarnai dunia ini. Pendidik begini mampu menyumbang sesuatu dalam dimensi sejarah negara mahupun dunia. Peranan dalam konteks ini dinyatakan sebagai mursyid. Tugas untuk membentuk kepimpinan insan merupakan satu tugas yang sangat berat. Ini kerana guru terpaksa meletakkan satu garis panduan yang bakal dicapai oleh pelajar untuk mamastikan mereka mampu menjadi pemimpin yang pakej yang lengkap dari aspek jasmani, emosi, rohani dan juga intelektual. Sejarah menunjukkan bahwa kebanyakan pemimpin yang lahir hari ini banyak berlatarbelakangkan profesion keguruan. Peranan sebagai mursyid memungkinkan perkara sebegini terjadi.

Dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap pelajar, guru dalam konteks ini wajar menunjukkan sendiri daya kepimpinan dan karisma sebagai pemimpin bagi tujuan pendidikan terhadap pelajar-pelajar. Pelajar akan lebih terpesona dan teruja apabila sesuatu secara realiti wujud di hadapan mata mereka sendiri. Oleh yang demikian seorang guru harus mempamerkan ketrampilan diri yang mengangumkan sama ada dari aspek intelektual ataupun moral bagi menjadi petunjuk kepada pelajar-pelajarnya. Contohnya ialah guru harus berani menyatakan kebenaran dalam apa situasi pun. Ini akan merangsang pelajar-pelajar mengikuti caranya. Begitu juga guru harus pandai berkomunikasi bagi menyatakan pendapat. Sikap begini juga akan mempengaruhi pelajar-pelajar menuruti dan mempelajari kemahiran ini.

Kepimpinan yang baik juga boleh diterjemahkan dalam sebuah keluarga. Oleh itu pelajar sewajarnya dilatih agar dapat memenuhi tuntutan keluarga sebagi pemimpin yang adil, dedikasi, bertanggungjawab, bermoral dan mampu menyelesaikan masalah dengan cekap. Bermula dari keluarga juga mampu menjana seseorang individu itu untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang. Tanpa sikap sebegini dalam keluarga akan menjadikan sesebuah keluarga itu longgar ikatannya dan akan mendorong wujudnya banyak masalah sosial yang tidak dijangka. Yang paling ketara ialah kes-kes perceraian yang sangat hangat berlaku sekarang. Kenbanyakan kes begini berlaku disebabkan tiada kefahaman tengtang tanggungjawab dalam kehidupan berkeluargan. Ekoran dari itu akan wujud pula masalah lain seperti anak-anak terbiar, pelajaran terabai, terlibat dengan gejala mat rempit, seks bebas dan sebagainya. Ini semua berpunca dari lemahnya kepimpinan di peringkat keluarga. Kesannya, akan berlaku seperti dlam ‘Lampiran 5’. Masyarakat tanpa segan silu melakukan perkara yang dilarang agama semata-mata untuk mendapat wang. Malahan perkara begini juga melibatkan warga emas yang sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat.

Perkara dalam perenggan di atas sebenarnya tidak terhad kepada keluarga sahaja malahan ia akan mencetuskan banyak lagi permasalahan dalam masyarakat dan negara. Justeru menjadi tanggungjawab semua mempraktikkan konsep mursyid ini kepada semua yang menjadi tanggungjawab masing-masing. Perlaksanaannya walaupun agak sukar tetapi  perlu dilaksanakan di semua peringkat lapisan masyarakat. Keutuhan kepimpinan di pelbagai peringkat membantu negara menjadi kukuh dan stabil. Kestabilan negara dapat memacu negara membangun dan mencapai kemajuan dengan lebuh berkesan. Kepimpinan yang disarankan dalam  konsep mursyid ini mementingkan lahirnya pemimpin yang lengkap disusuli pula dengan nilai-nilai moral yang tinggi. Oleh itu segala masalah yang melanda negara hari ini seperti rasuah, penipuan, penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin, kronism dan sebagai dapat diselesaikan dengan mudah. Ini kerana dengan adanya pemimpin-pemimpin menepati ciri-ciri peranan sebagai mursyid, negara akan ditadbir seadil-adilnya, bertanggungjawab dan kekayaan negara dapat dinikmati semua. Ini semua aan mengurangkan jurang ekonomi dan sosial di kalangan rakyat.

7.0 Kesimpulan

Berdasarkan penerangan di atas jelas menunjukan bahawa peranan pendidik dalam mewujudkan masyarakat yang stabil dan maju adalah tersangat penting. Ia akan menentukan arah tuju dan masa depan sesebuah negara itu. Pendidik hari ini bukan setakat berperanan di sekolah sahaja malahan segala pengisian dan kemahiran yang dicurahkan akan berkembang menjadi satu paradigma yang akan memacu negara mencapai matlamat. Sewajarnya pendidik ini, martabatnya diletakkan di tempat yang tinggi setinggi mana kita meletakkan ilmu sebagai asas kehidupan di muka bumi ini. Perlu dingat bahawa raja, perdana menteri, peguam, doktor malahan penyapu sampah juga melalui didikan seorang pendidik sebelum berjaya berkhidmat untuk masyarakat.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: